DISEMBER 2021

Sarawak Tuntut Hak Ikut Lunas Undang-Undang


SARATOK: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menuntut hak yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mengikut lunas undang-undang.

Beliau berkata, kejayaan yang dicapai semalam membuktikan keluhuran undang-undang di Malaysia sentiasa terjaga.

Terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang hadir dan meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 sejajar dengan MA63 pada persidangan Parlimen semalam, katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN di kawasan Krian, di sini.

Menurut Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), ia merupakan semangat rakyat di Sarawak khasnya dan mungkin rakan di Sabah kehendaki dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini juga menjadi satu daripada usaha kita di pihak GPS untuk mempertahankan hak Sarawak,” kata Ketua Menteri.

Abang Johari menegaskan, pindaan itu sangat penting khasnya Perkara 160 (2) yang menjelaskan mengenai MA63 dalam definisi ‘persekutuan’ kerana ia mengembalikan semula status Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi kepada Semenanjung Malaysia.

“Selain daripada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, dimasukkan juga MA63 yang turut melibatkan lampiran iaitu Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang menjadi sebahagian daripada kandungan Perlembagaan Malaysia,” tambahnya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri; Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri

(Transformasi Sosio Ekonomi), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Abdullah Julaihi, Ahli Parlimen P.204 Betong, Datuk Robert Lawson Chuat.

GAMBAR:UKAS

Sumber dari : Jiwa Bakti